Monday, 23 November 2015

"Pendidikan di Malaysia adalah satu usaha berterusan ke arah memperkembangkan
 lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan 
insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani. 
Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu 
pengetahuan, berakhlak mulia, bertanggungjawab, berketrampilan dan
 berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan
 terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara."

Falsafah pendidikan yang menjadi panduan bagi semua aktiviti pendidikan di
 Malaysia dikenali sebagai FPK. Dengan adanya FPK, maka sistem pendidikan
 negara sebenarnya menganjakkan diri ke kedudukan terkehadapan dengan
 mengungkapkan secara jelas prinsip dan nilai asas yang mendasari dan
 membentuk sistem pendidikan Malaysia daripada peringkat yang paling rendah
 hingga kepada peringkat tertinggi iaitu universiti. FPK menjelaskan tujuan dan
 matlamat pendidikan untuk individu dan negara. Kedua-dua tujuan selaras, iaitu
 untuk melahirkan insan yang berilmu, berakhlak mulia dan bertanggungjawab
 yang juga akan menjadi seorang warganegara yang baik. Pendidikan merupakan 
proses asas dan utama untuk pembinaan insan yang baik, seimbang dan 
bersepadu yang secara langsung merupakan saluran utama dan yang
 paling penting untuk menjayakan hasrat dan cita-cita negara.
Salah satu yang terkandung dalam FPK adalah falsafah tentang manusia 
yang berasaskan kepercayaan kepada Tuhan dan agama. Matlamat 
pendidikan adalah untuk membangunkan semua aspek diri manusia secara
 harmonis dan seimbang supaya kesepaduan fitrah diri manusia terpelihara.
 Berilmu dan berpendidikan harus menghasilkan budi pekerti yang baik dan
 akhlak yang mulia yang sekali gus menjadi ciri-ciri asasi seorang ahli keluarga, 
masyarakat dan warganegara yang baik dan terdidik.

No comments:

Post a Comment